Semua Penduduk Termasuk PTI Di Sabah Diberikan Vaksin Covid-19

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Program Vaksinasi Covid-19 di Sabah akan meliputi semua penduduk yang tinggal di negeri ini termasuk warga asing dan juga pendatang tanpa izin (PTI).

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, hasrat kerajaan adalah memberikan vaksinasi kepada semua orang yang tinggal di Sabah bagi memastikan tiada individu yang akan menyebabkan jangkitan Covid-19 terus berlaku.

“Untuk makluman, kerajaan telah memutuskan untuk memperluaskan pemberian vaksin secara percuma kepada rakyat asing termasuk PATI yang tidak mempunyai dokumen yang sah.

“Langkah ini selari dengan tema Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan iaitu ‘Lindungi Diri, Lindungi Semua’ dan pendekatan ‘tiada yang selamat, sehingga semua adalah selamat’,” katanya semasa sidang media perkembangan semasa Covid-19 negeri Sabah, hari ini.

Beliau berkata, program vaksinasi Covid-19 yang dijangkakan bermula 26 Feb akan disempurnakan dalam tiga fasa.

Katanya, fasa pertama akan melibatkan petugas- petugas barisan hadapan, fasa kedua melibatkan populasi yang mempunyai komorbiditi seperti warga emas dan penghidap penyakit kronik, manakala fasa ketiga akan meliputi warganegara lain yang berumur 18 tahun ke atas.

Fasa pertama dijangkakan bermula dari 26 Feb sehingga April ini dan ia akan dilaksana secara serentak di seluruh negara.

Untuk fasa kedua dan ketiga pula dijangkakan bermula dari April dan berterusan sehingga Februari 2022.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin telah menyenaraikan lima kaedah yang boleh digunakan oleh orang ramai untuk mendaftar sebagai penerima vaksin, iaitu: menggunakan aplikasi MySejahtera, laman sesawang Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-JKJAV, talian hotline yang akan ditetapkan kemudian, pendaftaran secara manual di klinik dan hospital awam serta swasta, dan terakhir sekali, kerjasama dengan kerajaan negeri untuk mendaftarkan penerima termasuk warga emas.

Pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) mempunyai peranan yang besar untuk mendapatkan senarai pendaftaran penerima vaksin dalam fasa kedua dan ketiga melalui bantuan Ketua Kampung dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung.

Sabah menyasarkan kira-kira 3 juta penduduk Sabah akan menerima vaksinasi menjelang Februari 2022. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *