Usah Gelap Mata Bila Dapat Duit i-Sinar

KUALA LUMPUR: Had pengeluaran i-Sinar perlu mengambil kira keperluan semasa kerana ia hanya bersifat penyelesaian sementara dalam jangka masa pendek.

Ia termasuk menyelesaikan perkara yang mendesak dan tertangguh akibat penularan Covid-19 dan bukannya peluang untuk ‘raya sakan’.

Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata, aspek pengurusan kewangan juga perlu cekap bagi mengelakkan wang berkenaan diguna secara tidak terkawal.

Katanya, dalam konteks semasa, pengeluaran wang berkenaan seharusnya digunakan untuk pembiayaan pendidikan anak-anak selari dengan konsep perbelanjaan kepenggunaan.

“(Digunakan) untuk makan, pakaian dan elemen asas kehidupan itu tidak salah, tetapi harus kepada perkara produktif kerana perlu diingat, ia adalah wang kita sendiri dan bukannya pemberian hadiah atau sumbangan.

“Mungkin ada yang ingin mengeluarkannya dalam jumlah yang banyak sekali gus, tetapi wang itu perlu disimpan di tempat yang lebih selamat.

“Penyakit gelap mata akibat duit ini, bukan hanya berlaku kepada golongan biasa dan pertengahan, tetapi orang yang biasa hidup mewah juga berdepan masalah ini,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau juga mencadangkan agar kerajaan tampil dengan kempen dan promosi menyeluruh bagi mengingatkan orang ramai supaya berbelanja dengan berhemah apabila pengeluaran i-Sinar dibuat.

Katanya, walaupun nasihat itu biasa didengar, namun ia perlu untuk memastikan orang ramai tidak berbelanja sesuka hati kerana wang itu adalah simpanan untuk masa depan.

“Pengeluaran simpanan yang dibenarkan ini juga satu pemberian yang besar ertinya. Jadi ia perlu digunakan dengan bermakna, pastikan perkara yang perlu diselesaikan dulu berbanding yang lain.

“Ini bukan kejayaan, bukan juga kemenangan, ini penyelesaian sementara. Ini duit kita untuk masa depan, tetapi dikeluarkan lebih awal. Jadi kita kena uruskannya sebaik mungkin,” katanya.

Khamis lalu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sedang dalam proses memansuhkan syarat kemudahan pengeluaran i-Sinar.

Ia berikutan nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya KWSP menambahbaik inisiatif itu selepas mengambil kira maklum balas orang awam yang terkesan akibat pandemik Covid-19. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *