Bantuan ‘One-Off’ Petugas KKM Dibayar Mac

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Bayaran “one-off” RM500 kepada 140,000 petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM) akan mula dibayar 1 Mac ini, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

Beliau berkata, petugas yang layak boleh mula membuat permohonan untuk tuntutan bayaran itu bermula bulan ini.

“Pemberian bantuan ‘one-off’ ini merupakan tambahan kepada Elaun Khas Covid-19 sebanyak RM600 sebulan kepada barisan hadapan, yang sudah mula dibayar sejak Mac tahun lalu.

“Bantuan ini layak diberikan kepada pegawai yang juga anggota barisan hadapan yang diarah dan terlibat secara langsung melaksanakan skop tugasan dalam rantaian pengurusan wabak Covid-19,” katanya selepas membuat lawatan ke Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (UPM).

Adham berkata, surat pekeliling ketua setiausaha KKM akan dikeluarkan, bagi menjelaskan pelaksanaan pemberian “one-off” itu.

“Adalah diharapkan pemberian ini, dapat menyuntik semangat petugas barisan hadapan KKM dalam meneruskan perjuangan memerangi wabak Covid-19,” katanya.

Pada 18 Jan lalu, semasa pengumuman khas Pakej Bantuan Pelindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan bayaran “one-off” RM500 kepada petugas KKM, akan mula dibayar suku pertama tahun ini.

Sementara itu, Adham berkata Hospital Pengajar UPM merupakan institusi bawah Kementerian Pengajian Tinggi yang dipilih sebagai salah satu pusat pemberian vaksin Covid-19, yang akan memulakan program imunisasi pada 26 Feb ini.

“Kita dapati hospital ini mampu untuk menyediakan tempat vaksinasi yang selesa,” katanya.

Adham berkata, setiap pusat vaksinasi Covid-19 yang dipilih, perlu membuat persiapan mengikut standard yang ditetapkan dan memenuhi keupayaan sebenar sesuatu pusat itu.

Beliau berkata, tujuh petugas terdiri daripada pegawai perubatan serta jururawat, akan ditempatkan di setiap fasiliti suntikan vaksin, dan menjangka setiap hari seramai 210 penerima vaksin akan disuntik.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *