COVID-19: Sabah Catat 142 Kes Positif, 3 Kematian

KOTA KINABALU: Kes positif baharu Covid-19 di Sabah meningkat sedikit berbanding semalam, dengan 142 kes dan tiga kematian dilaporkan hari ini.

Ini adalah hari kedua berturut-turut Sabah mencatatkan kes di bawah 150 kes baharu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, tiga kematian yang dicatatkan adalah dua kes di Tawau dan satu kes di Sandakan.

Beliau berkata, daripada 142 kes baharu hari ini, Kota Kinabalu mencatatkan kes tertinggi dengan 31 kes, diikuti dengan Tawau (17), Keningau (16), Putatan (9), Papar (9), Kota Marudu (9), Kota Belud (7), Lahad Datu (6), Sandakan (5), Penampang (5), Tuaran (4), Kunak (4) dan tiga kes di Kudat, Kinabatangan, Kalabakan dan Telupid.

Manakala dua kes di Tongod dan Ranau sementara satu kes masing-masing di Semporna, Sipitang, Beaufort dan Pitas.

Hari ini, Telupid bertukar dari zon kuning kepada zon jingga.

Menurutnya, daripada 142 kes positif itu, sebanyak 103 kes atau 72.5 peratus dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 14 kes, saringan kluster sedia ada empat kes, saringan komuniti dua kes dan 19 kes adalah dari lain-lain kategori.

Sebanyak 173 kes pulih dilaporkan hari ini dengan bilangan kumulatif sebanyak 48,707 kes. Kes kematian di Sabah bertambah menjadi 354 kes.

Setakat ini, sebanyak 50,997 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 1,367 kes aktif yang sedang menerima rawatan, iaitu 495 orang di hospital dan 869 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) serta tiga orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) atau penjara.

Terdapat 63 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 20 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Bilangan keseluruhan katil di hospital dan PKRC di Sabah kekal 6,111 katil dan peratus penggunaan adalah 22.37 peratus.

Bagi sekatan jalan raya (SJR), sebanyak 47,733 kenderaan diperiksa dalam tempoh 24 jam dan 78 kenderaan diarah berpatah balik. Manakala, 47 kompaun dikeluarkan atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *