Luluh Hati Ibu, Anak Hamil Akibat Dirogol Dua Individu Berbeza

Gambar Hiasan

TAWAU: Luluh hati seorang ibu apabila anak yang disangka hanya sakit perut disahkan hamil 32 minggu selepas dirogol dua individu berbeza, dalam kejadian di daerah ini.

Susulan laporan polis yang dibuat ibu mangsa pada 23 Julai 2020, polis berjaya menahan suspek pertama pada hari sama manakala suspek kedua pada jam 1.20 tengah hari semalam.

Difahamkan, ibu mangsa berusia 30-an membawa anaknya yang berusia 15 tahun ke sebuah klinik kesihatan di pusat bandar untuk pemeriksaan pada 23 Julai 2020.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, ibu mangsa membawa anak perempuannya membuat pemeriksaan kesihatan kerana berasa curiga melihat perut mangsa keras apabila dipegang.

Menurutnya, mangsa kemudian disahkan hamil dengan usia kandungan lapan bulan sebelum ibu mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau pada hari sama, jam 9.34 pagi.

“Siasatan awal polis mendapati mangsa dikatakan dirogol seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun sebanyak dua kali di rumah mangsa pada November 2019.

“Pada bulan sama juga, mangsa dirogol oleh seorang lagi lelaki lain iaitu suspek kedua juga di rumah mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Peter berkata, polis berjaya menangkap suspek pertama pada hari sama laporan dibuat namun analisa DNA kandungan mangsa dengan lelaki itu adalah negatif.

“Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau berjaya menahan suspek kedua berhampiran sebuah kilang kayu di Jalan Tanjung Batu, 1.20 tengah hari semalam.

“Suspek berumur 49 tahun dan bekerja sebagai buruh kilang. Dia tinggal di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah.

“Dengan tangkapan terbaru ini, polis percaya dapat menyelesaikan kes rogol yang disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *