Amri Yahya, Thanabalan Cuba Nasib Di Sabah

Amri (kiri) dan Thanabalan (kanan) bakal jalani ujian bersama skuad Sabah

KOTA KINABALU: Dua bekas pemain kebangsaan, Amri Yahya dan N Thanabalan mengintai peluang untuk menyarung jersi Sabah bagi menghadapi saingan musim baharu Liga Super.

Amri, 40, dan Thanabalan, 25, kini berada di Kota Kinabalu untuk mengikuti sesi pemilihan yang dijangka bakal diadakan tidak lama lagi.

Pengendali Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto ketika dihubungi mengesahkan dua pemain itu akan menyertai sesi pemilihan skuad Badak.

Menurutnya, walaupun kedua-duanya mempunyai latar belakang baik dalam karier bola sepak, ia bukanlah jaminan untuk terus menyarung jersi Sabah.

“Memang mereka datang untuk ujian pemilihan tetapi saya ingin tegaskan di sini, hanya ujian pemilihan akan menentukan sama ada mereka akan bersama kami atau tidak.

”Saya tidak mahu memilih pemain berdasarkan pencapaian atau latar belakang mereka sebelum ini tetapi kalau mereka berjaya buktikan keupayaan dan sesuai dengan ‘game plan’ pasukan, kenapa tidak?,” katanya.

Amri sebelum ini beraksi bersama Selangor, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Melaka United manakala pasukan terakhir disertainya ialah Sarawak United FC.

Penyerang itu juga membuat 63 penampilan bersama Harimau Malaya dan berjaya menghasilkan 13 gol.

Sementara itu, Thanabalan pula sebelum ini pernah beraksi dengan Negeri Sembilan, Felcra dan Kedah manakala pasukan terakhir disertainya ialah Perak II.

Dia juga pernah mewakili skuad kebangsaan bawah 19 tahun (B-19) dan B-23.

Terdahulu, Sabah Football Club (FC) turut mengumumkan rakan senegara Kurniawan, Sofie Imam Faizal kembali dilantik sebagai jurulatih kecergasan pasukan itu. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *