Sabah Benarkan 45 Jemaah Untuk Solat Jumaat

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah membenarkan semula solat lima waktu secara berjemaah dan solat Jumaat di masjid dan surau seluruh negeri bermula Jumaat ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun berkata, hanya 15 jemaah dibenarkan bagi solat lima waktu manakala 45 orang untuk solat Jumaat.

“Bagi memudahkan umat Islam melaksanakan ibadah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, kerajaan negeri bersetuju membenarkan solat berjemaah lima waktu tidak melebihi 15 orang dalam satu waktu dan solat Jumaat tidak melebihi 45 orang serta aktiviti keagamaan di masjid dan surau di seluruh zon negeri Sabah.

“Kerajaan negeri juga bersetuju membenarkan aktiviti keagamaan di rumah ibadat yang lain dengan kapasiti satu pertiga keluasan tempat ibadat atau tidak melebihi 45 orang dalam satu masa.

“Kebenaran berkuat kuasa pada 12 Februari 2021,” katanya dalam kenyataan perkembangan Covid-19 di Sabah, di sini, malam ini.

Pada masa sama, Masidi berkata, kerajaan negeri turut membenarkan pelanggan restoran untuk makan dan minum di premis terbabit dengan terhad dua orang bagi satu meja seperti diputuskan kerajaan pusat, semalam.

Namun, katanya, warga tua dan kanak-kanak tidak digalakkan berada di dalam premis berkenaan. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *