Najib Terima RM2.973 Bilion Daripada 1MDB – Pendakwaan

Timbalan Pendakwa Muhammad Saifuddin berkata, tuntutan yang dikemukakan Najib dan UMNO bahawa wang tunai yang dirampas adalah sumbangan politik merupakan alasan yang lemah.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerima sejumlah wang yang besar RM2.973 bilion daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam akaunnya tanpa sebarang justifikasi komersial atau perniagaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi dalam hujahnya berkata, perkara itu didedahkan pegawai penyiasat pengubahan wang haram Superintendan Foo Wei Min perpindahan wang dari 1MDB ke akaun Ambank Najib bernombor 9694 dilakukan dalam tiga peringkat dan Asisten Komisioner D Rajagopal mengenal pasti peringkat pertama dan kedua.

“Jejak wang terperinci dijalankan ke atas akaun Najib mendapati pergerakan wang dari Good Star membabitkan AS$120 juta (RM369,029,514) dalam lima transaksi antara tahun 2011 dan 2012.

“Peringkat (kedua) Aabar sebanyak AS$170 juta (RM523,389,779.96) melalui enam transaksi antara tahun 2011 dan 2012 dan peringkat (ketiga) Tanore sebanyak AS$681 juta (RM2,081,476,926) dipindahkan melalui dua transaksi pada tahun 2013.

“Menerapkan kaedah penilaian kewangan ‘masuk dahulu, keluar dahulu’ pada akaun Ambank Najib, jejak wang itu menunjukkan sejumlah RM2,973,896,219.96 yang diterima Najib dalam akaun 9694, dikembalikan ke akaun Tanore sebanyak RM2,034,350,000.

Wang baki RM939,546,219.96 dalam akaun 9694 Najib dipindahkan untuk dibelanjakan oleh bekas PM dalam empat kategori yang besar,” katanya pada pendengaran permohonan pendakwaan bagi pelucutan hak RM114,164,393.44 dan barang kemas dirampas dari premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd yang didengar di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin.

Pihak pendakwaan memfailkan permohonan pelucutan hak terhadap Obyu Holdings untuk melucutkan barangan tersebut termasuk 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 jam tangan aksesori, 234 pasang cermin mata dan 306 beg tangan serta wang tunai dalam pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44.

Wang dan barang kemas itu dirampas oleh pihak berkuasa kerana didakwa mempunyai kaitan dengan skandal dana 1MDB.

Najib dan UMNO adalah pihak ketiga dalam permohonan itu.

Muhammad Saifuddin berkata, dalam kes UMNO, tuntutan mereka mengenai wang tunai yang dirampas adalah derma politik, jelas tidak masuk akal kerana bagi seseorang yang menafikan mempunyai pengetahuan atau kaitan dengan wang itu, kini mengemukakan tuntutan sebagai pemilik sebenar.

“Tuntutan yang dikemukakan Najib dan UMNO yang wang tunai dirampas adalah sumbangan politik adalah alasan lemah berbanding bukti menunjukkan sebaliknya.

“Tidak ada apa pun yang dapat dilakukan untuk menutup kesalahan daripada wang tunai yang dirampas,” katanya.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili Najib manakala peguam Datuk Hariharan Tara Singh mewakili UMNO.

Mahkamah menangguhkan kes itu pada 11 dan 15 Mac ini untuk mendengar penghujahan Muhammad Shafee dan Hariharan. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *