Lelaki Mengaku Tidak Bersalah Halang Tugas Polis

Dillie ketika dibawa anggota polis ke Mahkamah Majistret Tawau, hari ini. – Gambar Abdul Rahemang Taiming

TAWAU: Lelaki yang menghalang dan mengganggu tugas polis ketika Op Covid Team Pemantauan dan Pematuhan SOP dekat Taman Semarak, Sabtu lalu mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan di Mahkamah Majistret di sini, pagi hari ini.

Tertuduh, Dillie Rais Sidi, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan masing-masing mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dibacakan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menghalang penjawat awam dari menjalankan tugasnya iaitu menghalang Lans Koperal Emmie Awiera Azmi membuat pemeriksaan dokumen dirinya.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh dengan mengganggu tugas polis ketika menjalankan Op Covid Team Pemantauan dan Pematuhan SOP dekat kawasan Pasar Semarak, pada 8.20 pagi, 6 Februari lalu.

Bagi Kesalahan itu, tertuduh boleh hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Untuk pertuduhan kedua pula, dia didakwa gagal mematuhi Peraturan 7 Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 iaitu sebagai seorang yang tidak dikecualikan mengikut Peraturan 27 kerana tidak mengemukakan kad pengenalan apabila diminta oleh Emmie Awiera pada hari dan masa kejadian yang sama.

Tertuduh berdepan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Ali Imran bersama Pegawai Pendakwa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau Asisten Superintendan Dayang Nur Azarinawati Ag Kachee yang menawarkan wang jaminan berjumlah RM15,000 untuk setiap pertuduhan atas alasan faktor kes menarik perhatian umum selain tular di media sosial.

Peguam yang mewakili tertuduh, Darmin Achok pula memohon wang jaminan dikurangkan kepada RM2,000.00 mengambil kira faktor kewangan anak guamnya yang hanya bekerja sebagai kontraktor bebas selain terpaksa menanggung isteri dan dua anak yang masih kecil.

Majistret Nur Asyraf kemudiannya membenarkan tertuduh dijamin dengan wang jaminan masing-masing RM5,000 bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah turut menetapkan 9 dan 15 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *