Jangan Gabung Meja Jika Tidak Mahu Dikompaun

KUANTAN: Polis memberi amaran kepada pelanggan di restoran, kedai makan dan gerai supaya tidak bertindak mencantumkan meja ketika berada di premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali, berkata, tindakan mencantumkan meja melebihi dua orang seperti yang ditetapkan boleh dikompaun kerana melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sehubungan itu, katanya, pelanggan yang berada di premis makanan diminta mematuhi SOP yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu dua pelanggan setiap satu meja.

“Saya beri amaran bahawa polis akan bertindak tegas dengan mengeluarkan kompaun sekiranya didapati ada pelanggan yang mencantumkan meja. Patuhi SOP termasuk mengisi maklumat dan melakukan pemeriksaan suhu badan sebaik memasuki premis,” katanya hari ini selepas mengadakan Operasi Bersepadu Perdana yang memberi tumpuan pencegahan jenayah dan pematuhan SOP di sekitar bandar ini.

Mengulas operasi berkenaan, beliau berkata, pihaknya mempertingkatkan pemantauan sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang memberi tumpuan kepada membanteras jenayah di bank dan kedai emas.

“Ini kerana dua premis berkenaan menjadi sasaran penjenayah. Sebanyak 15 pasukan unit kereta peronda (MPV) ditugaskan melakukan pemantauan SOP di daerah ini secara berkala,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *