Lelaki Provok Pasukan Keselamatan Dilanjut Reman

Suspek (dua dari kanan) yang menghalang dan mengganggu tugas polis dibawa ke Mahkamah Majistret Tawau untuk dilanjutkan reman hari ini. Foto Abdul Rahemang Taiming

TAWAU: Tempoh reman lelaki yang menghalang dan mengganggu tugas polis ketika menjalankan Op Covid Team Pemantauan dan Pematuhan SOP dekat Taman Semarak di sini, dilanjutkan tiga hari lagi bermula hari ini bagi melengkapkan siasatan.

Lelaki berusia 37 tahun itu sebelum ini direman selama empat hari sejak Sabtu lalu dibawa ke Mahkamah Majistret Tawau pada 8.47 pagi hari ini.

Perintah sambung reman dikeluarkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau Amir Shah Amir Hassan selepas permohonan perintah lanjutan reman dibuat Asisten Superintendan Dayang Nur Azarinawati Ag Kachee.

Dalam kejadian pada Sabtu, satu rakaman video lelaki yang membuat provokasi serta mengganggu tugas anggota polis bersama pasukan pemantauan di kawasan itu tular di media sosial sebelum dia ditahan pada hari yang sama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas dalam kenyataannya semalam menjelaskan suspek didapati dengan sengaja melakukan perbuatan mengekori kenderaan pasukan pemantauan dan membuat rakaman video menggunakan telefon bimbitnya.

Menurutnya, anggota polis kemudiannya menahan kereta suspek sebelum mengarahkannya mengemukakan dokumen pengenalan diri selain bertanyakan tujuannya merakam video terbabit.

“Bagaimanapun, lelaki berkenaan enggan memberi kerjasama malah meninggikan suaranya dan menimbulkan provokasi.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan, Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, Seksyen 8(1)(e) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil Negeri Sabah dan Seksyen 90 Akta Polis 1927,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *