Denyut Nadi Rakyat Sabah Sentiasa Didengari – Hajiji

KOTA KINABALU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memberi jaminan akan sentiasa mendengar masalah yang dihadapi masyarakat pelbagai kaum di negeri ini termasuklah masyarakat Cina.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, sebagai kerajaan yang prihatin, mereka sentiasa mendengar denyut nadi rakyat tanpa mengira bangsa dan keturunan.

“Saya memberi jaminan kepada masyarakat Cina bahawa kerajaan sentiasa mendengar permasalahan mereka dan tampil dengan penyelesaian yang memberi manfaat.

“Kerja keras dan komitmen mereka dalam memajukan bidang perniagaan perlu dicontohi oleh sesiapa juga yang berhasrat untuk menjadi usahawan,” katanya dalam perutusan sempena perayaan Tahun Baharu Cina, hari ini.

Menurutnya, kekuatan Sabah terletak kepada rakyatnya. Kepelbagaian tradisi, etnik dan bahasa tidak memisahkan rakyat untuk membina sebuah masyarakat yang harmoni.

Untuk itu, rakyat di negeri ini perlu bersatu padu agar Sabah lebih maju serta progresif pada masa hadapan selaras dengan pelan pembangunan holistik melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (Pelan Pembangunan 2021-2025).

Katanya, Sabah Maju Jaya ini memberi penekanan dalam sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan. Tumpuan juga adalah kepada pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat serta jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau.

“Selaku Ketua Menteri, saya berharap pelaksanaan hala tuju Sabah Maju Jaya ini dan semua program di dalamnya dapat memberi hasil seperti yang kita inginkan, meningkatkan pertumbuhan ekonomi bukan sahaja kepada negeri tetapi juga rakyat keseluruhannya,” jelasnya.

Seiring dengan perayaan Tahun Baharu Cina ini, beliau berharap tahun ini akan membawa sinar harapan, kekuatan, kebahagian dan kesihatan yang baik di samping menikmati lebih kemakmuran.

“Akhir sekali saya ingin mengucapkan selamat maju jaya pada tahun ini dan tahun-tahun mendatang.

“Marilah kita saling menghormati antara satu sama lain dan berusaha menuju kejayaan terutama dalam pelaksanaan hala tuju Sabah Maju Jaya di negeri ini,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *