Beri Peruntukan RM10 Juta Untuk Ahli Parlimen Wanita

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Rina Jainal

TAWAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Rina Jainal menyambut baik cadangan Kumpulan Daya Tindakan Wanita Sabah (SAWO) untuk meminta kerajaan memperkenalkan dana awam kepada parti politik mengikut jumlah kerusi parlimen yang dipegang oleh wanita.

Menerusi dana itu, setiap kawasan parlimen yang diketuai oleh wanita harus diberikan peruntukan khas RM10 juta untuk menggalakkan pembabitan lebih banyak perwakilan wanita dalam Dewan Rakyat.

Ketua Wirawati Warisan Bahagian Kalabakan ini berkata, sebagai salah seorang daripada enam wakil rakyat wanita di DUN Sabah, beliau menyokong cadangan tersebut yang dilihat akan membantu memperkasa peranan wanita sebagai pembuat keputusan di peringkat pentadbiran.

“Usaha begini juga akan menggalakkan setiap parti memilih calon wanita untuk diketengahkan dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang. Ini akan membantu mengetengahkan lebih ramai pemimpin wanita.

“Saya melihat peruntukkan sebanyak RM10 juta bagi setiap parlimen adalah munasabah. Sebagai contoh, daripada jumlah itu, mungkin RM1 juta diperuntukkan bagi setiap DUN dalam tempoh setahun, sekali gus membolehkan ADUN melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan khususnya membabitkan pembangunan wanita serta masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, dana tersebut boleh digunakan untuk wakil rakyat meningkatkan ekonomi  setempat termasuk produk industri kecil dan sederhana (IKS) dalam kalangan wanita seperti ibu tunggal. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *