Daerah Beluran Kembali Zon Merah

KOTA KINABALU: Daerah Beluran semalam kembali menjadi zon merah apabila merekodkan lebih 40 kes aktif COVID-19 susulan pertambahan jangkitan dan juga satu kluster baharu di daerah terbabit.

Ia menjadikan sebanyak 19 zon merah direkodkan di Sabah, setakat ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata sebanyak 19 kes baharu telah dicatatkan di Beluran.

“Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini (semalam) adalah sebanyak 190 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 49,610 kes.

“Terdapat satu kes kematian telah direkodkan iaitu di daerah Sandakan,” katanya dalam satu kenyataan media mengenai perkembangan COVID-19 di Sabah yang dikeluarkan, semalam.

Masidi berkata, punca peningkatan kes di Beluran sehingga menjadi zon merah turut membabitkan salah satu kluster baharu yang dikenal pasti semalam.

“Dalam pada itu, salah satu kluster baharu turut direkodkan, iaitu Kluster Ladang Tangkarason di Beluran yang merekodkan sebanyak 16 kes baharu.

“Kes indeks iaitu pekerja yang dikesan melalui saringan pekerjaan pada 1 Februari lepas, selepas mengalami gejala.

“Hasil saringan kontak rapat dan tempat kerja mendapati 15 lagi kes positif COVID-19 dikesan bagi kluster ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menjelaskan daerah Nabawan dan Tambunan telah berubah dari zon jingga ke zon kuning.

Dua lagi kluster baharu turut dikesan hari ini adalah Kluster Jalan Satu, KKIP di Kota Kinabalu dan Tuaran dan Kluster Bandar Lama di Tawau. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *