COVID-19: Kes Positif Di Sabah Terus Menurun

KOTA KINABALU: Kes positif baharu Covid-19 di Sabah menurun kepada 190 kes dengan satu kematian dan tiga kluster baharu dilaporkan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, tiga kluster baharu yang dikesan di tempat kerja adalah kluster Jalan Satu, KKIP di Kota Kinabalu dan Tuaran; kluster Ladang Tangkarason, Beluran; dan kluster Bandar Lama, Tawau.

Kluster Jalan Satu, KKIP mencatatkan tiga kes positif dan kes indeks membabitkan pekerja gedung pakaian di Kota Kinabalu dan kemudian merebak kepada keluarga yang bekerja di gudang di KKIP. Manakala, kluster Ladang Tangkarason, Beluran mencatatkan 16 kes positif dimana, kes indeks dikesan melalui saringan pekerjaan.

Untuk kluster Bandar Lama, Tawau pula, lima kes baharu dikesan dengan kumulatif 24 kes positif. Kes indeks membabitkan pekerja di pusat bandar yang dikesan melalui saringan bergejala.

Satu kes kematian hari ini dilaporkan di Sandakan membabitkan jenazah lelaki berusia 89 tahun yang dibawa ke Hospital Duchess of Kent.

Hari ini Beluran bertukar dari zon jingga kepada zon merah sementara, Nabawan dan Tambunan berubah dari zon jingga kepada zon kuning.

Masidi berkata, daripada 190 kes baharu hari ini, Kota Kinabalu kekal mencatatkan kes tertinggi dengan 33 kes, diikuti dengan Papar (23), Beluran (19), Keningau (18), Sandakan (15), Tawau (15), Lahad Datu (13), Sipitang (12), Tuaran (11), Putatan (8), Penampang (8), Kota Marudu (4), Kudat (3), Kunak (2), Kota Belud (2) dan masing-masing satu kes di Kinabatangan, Telupid, Semporna dan Pitas.

Menurutnya, daripada 190 kes positif itu, sebanyak 95 kes dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 27 kes, saringan kluster baharu dan sedia ada 41 kes, saringan Perkeso 12 kes dan 15 kes adalah dari lain-lain kategori.

Sementara itu, sebanyak 337 kes pulih dilaporkan, dengan kumulatif kes sebanyak 46,238 kes. Kes kematian di Sabah bertambah menjadi 328 kes.

Setakat ini, sebanyak 49,610 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 1,928 kes aktif yang sedang menerima rawatan, iaitu 656 orang di hospital dan 1,263 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) serta sembilan kes di Pusat Tahanan Sementara (PTS) atau penjara.

Terdapat 91 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 24 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Bilangan keseluruhan katil di hospital dan PKRC di Sabah kekal 6,121 katil dan peratus penggunaan adalah 31.5 peratus.

Bagi sekatan jalan raya (SJR), sebanyak 36,384 kenderaan diperiksa dalam tempoh 24 jam dan 88 kenderaan diarah berpatah balik. Manakala, 43 kompaun dikeluarkan atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *