KOTA KINABALU: Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali mengakui bersimpati dengan nasib lapan penduduk kampung di pedalaman Sabah yang dikompaun RM1,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bagaimanapun, beliau berkata, tindakan itu dibuat demi memberi kesedaran kepada orang ramai betapa pentingnya mematuhi SOP PKP bagi memastikan pandemik Covid-19 dapati dilandaikan.
Menurut beliau, pihaknya amat memahami keadaan masyarakat terutama ketika tempoh PKP dan cukup bertoleransi terutama kepada kereta sapu dan masyarakat di negeri ini.
“Saya simpati dengan mereka (penduduk kampung) terutama pada kereta sapu..kita cukup bertoleransi namun ada yang seolah-olah ‘cacing naik ke mata’ apabila sewenang-wenangnya melanggar SOP PKP dan menggunakan sentimen alasan kebajikan bagi menutup kesalahan yang dilakukan.
“Mereka tidak tahu sangat (berkenaan SOP) tetapi oleh kerana si pemandu kereta sapu yang mahu mengaut untung lebih ini, pihak polis kena ambil tindakan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini, hari ini.
Hazani berkata, paparan video yang dimuat naik dan ditularkan adalah satu bentuk provokasi kepada pasukan keselamatan yang selama ini begitu banyak menggunakan kuasa budi bicara selama tempoh PKP dikuatkuasakan.
Menurut beliau, ini kerana, jika PDRM melaksanakan sepenuhnya SOP PKP yang dikuatkuasakan, maka lebih banyak kompaun akan dikenakan.
“Justeru, kami menasihati masyarakat supaya mematuhi SOP PKP yang dikuatkuasakan.
“Bermula hari ini juga, saya akan memastikan semua Ketua Polis Daerah (KPD) dan barisan hadapan untuk mengambil tindakan tegas dan tanpa kompromi bagi mana-mana individu yang melanggar SOP PKP kini.
“Polis juga akan mengambil tindakan terhadap kereta sapu di seluruh negeri ini,” katanya.
Sejak semalam, tular rakaman video berkenaan lapan penduduk kampung, termasuk seorang pemandu kereta sapu, dikompaun kerana melanggar SOP PKP dengan membawa lebih penumpang iaitu 50 peratus daripada kapasiti kenderaan awam yang dibenarkan.
Dalam rakaman itu, mereka menyatakan berasa sedih selepas dikompaun RM1,000 oleh pihak berkuasa sedangkan mereka mendakwa keluar untuk membeli barangan keperluan. – HMetro
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost