Guru KV Sabah Rangkul Anugerah Diamond

Haini Kotin

KENINGAU: Puan Haini Kotin, ketua jabatan teknologi elektrik di Kolej Vokasional Keningau, telah berjaya mendapat markah tertinggi dengan penganugerahan “Diamond” dalam pertandingan poster kajian dan inovasi bagi kategori ijazah sarjana dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan yang disertainya baru-baru ini.

Keputusan pertandingan ini yang dikendalikan oleh MNNF Network, sebuah persatuan berpusat di Negeri Sembilan, telah diumumkan di laman sesawang persatuan tersebut pada 29 Januari 2021.

Puan Haini Kotin telah menghantar poster kajiannya yang berkaitan dengan aktiviti pembelajaran topik-topik tertentu dalam subjek teknologi elektrik.

Dia adalah satu-satunya peserta yang berjaya mencapai pengiktirafan “Diamond” dalam kategori yang disertainya.

Puan Haini Kotin pernah membentang projek ini di persidangan antarabangsa di Brunei dan Indonesia pada tahun 2019 secara bersemuka untuk menimba pengalaman. Pada tahun 2020, dia membentang projek yang sama di sebuah persidangan asia tenggara yang dianjurkan dalam talian.

Namun kejayaan terbesar Puan Haini Kotin adalah impaknya kepada pelajar-pelajar yang dididiknya.

Para pelajarnya pernah membentang projek mereka di pertandingan inovasi dan persidangan secara bersemuka di Australia, Taiwan, Brunei, Indonesia dan Malaysia.

Memandangkan pandemik COVID 19 telah menyebabkan hampir kesemua acara dilaksanakan secara maya, ramai pelajarnya telah berjaya membentang projek mereka melalui aplikasi Zoom di beberapa persidangan yang dianjurkan di luar negara termasuklah Perancis.

Program teknologi elektrik di kolej tersebut telah menggondol banyak anugerah di pelbagai pertandingan inovasi.

Encik Johari @ Jaibet Bin Sabin, pengarah kolej tersebut, berasa bangga dengan pencapaian puan Haini Kotin yang baginya telah banyak berkorban demi kemenjadian pelajar.

Dia sentiasa menggalakkan guru-guru di sekolah tersebut untuk menceburi bidang inovasi dan kajian.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *