Covid-19: Pelajar Sekolah Punca Wujud Kluster Jalan Labuk

KOTA KINABALU: Ketika kes positif baharu seluruh negara meningkat kepada 5,728 kes, Sabah mencatatkan penurunan kes berbanding semalam.

Kes positif baharu Covid-19 di Sabah hari ini menurun kepada 263 kes, dengan dua kes kematian dan satu kluster baharu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, satu kluster baharu dilaporkan hari ini adalah kluster Jalan Labuk, Sandakan dengan dua kes baharu dan bilangan kumulatif 15 kes.

Kes indeks bagi kluster ini membabitkan pelajar yang dikesan positif melalui saringan masuk asrama pada 22 Jan. Hasil saringan kontak rapat mendapati beberapa lagi rakan pelajar dan guru disahkan positif.

Untuk hari ini, dua kes kematian dilaporkan masing-masing satu kes di Kudat dan Sandakan.

Beliau berkata, daripada 263 kes baharu hari ini, Kota Kinabalu kekal mencatatkan kes tertinggi dengan 44 kes, diikuti dengan Lahad Datu (43), Sandakan (22), Putatan (21), Tawau (20), Penampang (17), Tuaran (13), Keningau (12), Papar (11), Ranau (8), Kinabatangan (8), Kota Belud (7), Semporna (6), Kudat (5), Kota Marudu (5), Tongod (5) dan empat kes di Kunak, Kuala Penyu dan Kalabakan.

Manakala, dua kes di Beluran dan satu kes masing-masing di Pitas dan Nabawan.

Hari ini, Nabawan bertukar dari zon merah kepada zon jingga.

Masidi berkata, daripada 263 kes positif itu, sebanyak 192 kes atau 73 peratus dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 41 kes, saringan kluster baharu dan sedia ada lapan kes, saringan masuk asrama dua kes dan 20 kes adalah dari lain-lain kategori.

Sementara itu, sebanyak 414 kes pulih dilaporkan, dengan kumulatif kes sebanyak 44,821 kes. Kes kematian di Sabah bertambah kepada 323 kes.

Setakat ini, sebanyak 48,570 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 2,328 kes aktif yang sedang menerima rawatan, iaitu 733 orang di hospital dan 1,572 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) serta 23 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) atau penjara.

Terdapat 95 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 27 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Bilangan keseluruhan katil di hospital dan PKRC di Sabah kekal 6,505 katil dan peratus penggunaan adalah 35.79 peratus. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *