Covid-19: Pelajar Punca Kluster Tinanom Di Ranau

KOTA KINABALU: Kes positif baharu Covid-19 yang dilaporkan di Sabah hari ini meningkat kepada 288 kes, dengan dua kes kematian dan dua kluster baharu.

Dua kluster baharu ini adalah kluster Tinanom, Ranau dan kluster Jalan Sepanggar, Kota Kinabalu.

Untuk kluster Tinanom sebanyak 22 kes baharu, dengan bilangan kumulatif 46 kes. Kes indeks bagi kluster ini membabitkan seorang pelajar yang dikesan positif melalui saringan masuk asrama. Manakala, kluster Jalan Sepanggar mencatatkan 10 kes baharu, dengan kumulatif 12 kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, dua kes kematian yang dilaporkan masing-masing satu kes di Papar dan Kota Kinabalu.

Beliau berkata, daripada 288 kes baharu hari ini, Kota Kinabalu kekal mencatatkan kes tertinggi dengan 40 kes, diikuti dengan Tawau (34), Lahad Datu (30), Papar (27), Ranau (22), Sandakan (20), Tuaran (16), Kinabatangan (14), Penampang (13), Putatan (13), Keningau (13), Beaufort (11), Kudat (10), Kota Belud (5), Kunak (5), Kota Marudu (3) dan dua kes di Kuala Penyu, Tenom, Sipitang, Telupid dan Tongod.

Manakala, satu kes di Kalabakan dan Beluran.

Masidi berkata, daripada 288 kes positif itu, sebanyak 208 kes atau 72.2 peratus dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 30 kes, saringan kluster baharu dan sedia ada 26 kes, saringan komuniti dua kes, saringan Perkeso lapan kes dan 14 kes adalah dari lain-lain kategori.

Sementara itu, sebanyak 468 kes pulih dilaporkan, dengan kumulatif kes sebanyak 44,407 kes. Kes kematian di Sabah bertambah kepada 321 kes.

Setakat ini, sebanyak 48,307 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 2,424 kes aktif yang sedang menerima rawatan, iaitu 749 orang di hospital dan 1,655 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) serta 20 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) atau penjara.

Terdapat 84 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 26 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Bilangan keseluruhan katil di hospital dan PKRC di Sabah kekal 6,506 katil dan peratus penggunaan adalah 40.69 peratus. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *