Polis Tahan Orang Tengah Edar Syabu Di Pulau Gaya

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU, 28 Jan : Polis menahan seorang lelaki disyaki menjadi orang tengah yang menjual bekalan syabu kepada penagih di Pulau Gaya di sini Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata semasa ditahan polis merampas tujuh peket syabu dengan berat keseluruhan 56.48 gram dianggarkan bernilai RM5,648 disembunyikan suspek warga asing itu di dalam beg plastik hitam bagi mengaburi pihak berkuasa.

Beliau berkata selain itu, polis turut merampas sebuah telefon bimbit dan wang tunai sebanyak RM1,174 manakala hasil ujian saringan mendapati suspek seorang penganggur berumur 20 tahun itu negatif dadah.

“Semakan rekod mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Siasatan juga mendapati suspek telah lama bersekongkol dengan sindiket pengedaran dadah dengan mendapat upah sebanyak RM25 hingga RM30 sehari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 Habibi berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *