Murid Tanpa Akses Internet Di Sabah Tidak Akan Ketinggalan Jalani PdPR – Pengarah

KOTA KINABALU: Pengarah Pendidikan Sabah, Mistirine Radin berkata, semua sekolah di negeri itu menggunakan semua kaedah yang boleh bagi memastikan program pembelajaran dan pengajaran dari rumah (PdPR) dapat dilaksanakan walaupun tanpa akses internet.

Katanya, murid yang tidak mempunyai akses internet, terutama di kawasan pedalaman, tidak akan terpinggir kerana pihak sekolah memikirkan kaedah terbaik bagi membolehkan mereka turut menjalani PdPR seperti murid lain.

”Bagi murid yang tiada akses internet, kami gunakan modul dan lembaran kerja bercetak.

Mistirine Radin

”Sekolah akan menggunakan semua kaedah untuk memastikan tiada murid tertinggal dalam pendidikan,” katanya

Mistirine berkata, bagi tujuan pengambilan dan penghantaran bahan pembelajaran yang dibuat secara mingguan, pihak sekolah juga akan memastikan ia memudahkan ibu bapa.

”Sekolah menyediakan tempat khas untuk ‘drive in’ atau ‘walk thru’ bagi memudahkan ibu bapa mengambil serta menghantar bahan pembelajaran secara mingguan.

”Selain itu, ada guru yang mengambil inisiatif sendiri untuk menghantar bahan pembelajaran dan tugasan kepada murid di rumah.

“Namun mereka dinasihati supaya sentiasa mematuhi SOP (prosedur operasi standard) serta menjaga kesihatan dan keselamatan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, antara kaedah pembelajaran menarik yang dilaksanakan dalam tempoh PdPR ini ialah Pembelajaran Berasaskan Projek (PBL).

Katanya, PBL adalah penghasilan projek secara amali oleh murid berdasarkan topik dalam silibus dan penglibatan ibu bapa turut digalakkan.

”Kaedah PBL ini sangat menarik, ia memudahkan murid lebih memahami sesuatu topik dengan cara menyeronokan, terutama ketika PKP ini,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

769