Pasukan Petugas Nafi JHL Sembunyi Kematian Gajah Di Sabah

Bangkai gajah yang ditemui di ladang kelapa sawit Leepang di Kinabatangan Nov lepas.

KOTA KINABALU: Anggota Pasukan Petugas Gajah Sabah (SETF) tampil membela Jabatan Hidupan Liar negeri selepas ia dituduh cuba menyembunyikan jumlah sebenar kematian gajah di negeri itu.

Mereka yang mewakili badan bukan kerajaan (NGO) menafikan laporan yang mendakwa jabatan itu tidak telus berkongsi data dan maklumat mengenai kematian gajah.

Dakwaan itu dibuat oleh seorang pakar hidupan liar dan pemuliharaan tempatan yang tidak disebutkan namanya di sebuah portal berita dalam talian.

Anggota SETF Nurzhafarina Othman dan Benoit Goossens menolak dakwaan itu dengan berkata, kerajaan berusaha sebaik mungkin untuk menangani masalah kematian gajah liar, terutamanya melalui pasukan petugas.

Nurzhafarina, seorang pakar gajah Borneo dan pengasas program pemuliharaan gajah Projek Seratu Aatai, berkata, seorang “pakar” tidak akan menyembunyikan namanya, malah akan memberikan bukti untuk menyokong dakwaan tersebut.

Katanya, SETF sering bertemu untuk membincangkan masalah utama yang dihadapi.

“Seorang pakar akan mencari jalan untuk memperbaiki sistem. Tulis surat rasmi kepada jabatan dan dapatkan penjelasan.

“Saya menyeru semua ‘pakar’ agar bersikap telus ketika mereka membuat kenyataan. Sekiranya mereka ‘bersembunyi’ seperti ini, ia tidak akan memberi kebaikan kepada sesiapa,” katanya.

Kritikan itu timbul susulan kematian empat ekor gajah di Sabah baru-baru ini, semuanya di ladang kelapa sawit, termasuk satu bangkai yang dilapah ditemui di daerah pedalaman Tongod.

Anggota badan haiwan itu dikerat-kerat dan kulitnya disiat.

Seorang lagi ahli pemuliharaan dalam laporan dalam talian tersebut mendakwa Jabatan Hidupan Liar tidak berminat untuk berkongsi maklumat kerana ia akan menjejaskan reputasinya.

Jabatan itu juga dituduh bercakap mengenai kematian tersebut hanya setelah didesak oleh media dan berita mengenai kematian gajah tersebar di media sosial.

Goossens, seorang pakar hidupan liar yang mengetuai pusat penyelidikan Danau Girang Field Centre, menolak tanggapan bahawa jabatan itu cuba menyembunyikan kematian tersebut dengan berkata, ia seperti pihak yang kononnya ‘pakar’ itu mempunyai isu dengan kerajaan.

“Jabatan ini tidak bersembunyi daripada orang ramai. Pembunuhan (gajah) itu disiarkan di akhbar dan tidak disembunyikan daripada pengetahuan orang ramai.”

“Saya anggota SETF dan saya berjanji kepada anda bahawa kami, termasuk agensi kerajaan seperti Jabatan Hidupan Liar dan Perhutanan, melakukan segala yang kami mampu untuk mengatasi isu ini.

“Tetapi ada beberapa pihak yang menggelarkan diri mereka sebagai ahli pemuliharaan dan suka mengkritik dan menghabiskan masa di sebalik komputer, menyerang pihak yang melakukan kerja sebenar,” katanya.

FMT telah menghubungi Jabatan Hidupan Liar untuk mendapatkan komen.

Pasukan Petugas Gajah Sabah ditubuhkan pada 2018 susulan peningkatan mendadak kadar kematian gajah di negeri itu.

Pasukan itu dipengerusikan oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, dengan Jabatan Hidupan Liar sebagai sekretariat.

Pasukan itu juga dianggotai Jabatan Perhutanan Negeri dan beberapa NGO.

Sejumlah 116 ekor gajah mati di antara Okt 2010 dan Sept tahun lalu. Dalam tempoh tersebut, tahun 2018 mencatatkan jumlah kematian tertinggi dengan sekurang-kurangnya 30 kes.

Kematian tersebut terutamanya disebabkan perangkap, kekurangan makanan dan penyakit. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

933