Imigresen Sabah Tahan 49 Pendatang Tanpa Izin

Dr Muhamad Sade (berdiri, kanan) memeriksa dokumen salah seorang Pati yang ditahan dalam operasi berkenaan.

KOTA KINABALU, 28 Jan : Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri Sabah menahan 49 pendatang tanpa izin, hasil daripada 114 individu yang diperiksa dalam Operasi Bersepadu pada Selasa, 26 Jan.

Pengarah JIM Sabah Datuk Dr Muhamad Sade Mohamad Amin berkata, daripada jumlah yang ditahan itu, seramai 29  merupakan warganegara Filipina dan 20 orang lagi warganegara Indonesia.

“Operasi yang dijalankan bermula jam 11.50 malam dan berakhir pada jam 2 pagi itu, melibatkan rumah-rumah setinggan di tanah simpanan kerajaan dan Taman Bunga Sulaman, Kota Kinabalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Muhamad Sade (berdiri, kanan) memeriksa dokumen salah seorang Pati yang ditahan dalam operasi berkenaan.

Katanya mereka yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 antaranya Seksyen 6(1)(c) iaitu, masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pasport atau pas yang sah dan Seksyen 15(1)(c), iaitu tinggal lebih masa selepas tamat tempoh pas, serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat-syarat pas.

Muhamad Sade berkata operasi itu melibatkan 101 anggota pelbagai jabatan antaranya Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan semua yang ditahan ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Transit, Depot Imigresen Papar, sebelum dihantar pulang ke negara masing-masing.

Jelasnya, objektif utama operasi itu dilaksanakan adalah untuk membanteras mana-mana warga asing terutamanya pendatang tanpa izin yang membuat penempatan haram di tanah-tanah simpanan kerajaan atau milik individu awam.

“JIM Sabah memohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan kepada jabatan itu kawasan penempatan haram yang didapati menjadi penempatan pendatang tanpa izin di sekitar kediaman mereka,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *