39,100 Frontliners Di Sabah Akan Terima Vaksin Fasa Pertama

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Seramai 39,100 orang petugas barisan hadapan di Sabah akan menerima vaksinasi Covid-19 fasa pertama apabila bekalan vaksin tersedia kelak.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, walaupun pemimpin negeri tersenarai sebagai penerima vaksinasi Covid-19 fasa pertama namun, ia bergantung kepada ketetapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata, sekiranya KKM menetapkan pemimpin-pemimpin negeri seperti Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diberi keutamaan kerana pemimpin bertugas melawat kawasan maka, pemimpin bersedia untuk menerimanya.

Untuk penerima vaksinasi fasa pertama, apa yang penting adalah petugas barisan hadapan kerana itu adalah prinsip asas yang telah ditetapkan.

Mengenai saranan meminta semua pelajar menjalani saringan Covid-19 sebelum memulakan persekolahan, Masidi berkata, perkara itu hanya saranan dan bukanlah satu kewajipan.

Sekiranya semua pelajar perlu menjalani saringan Covid-19, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) tidak akan dapat menampung kapasiti pemeriksaan untuk keseluruhan pelajar.

“Dengan itu, satu pendekatan yang lebih baik diperlukan untuk memastikan pelajar-pelajar membawa risiko jangkitan yang minima apabila memulakan sesi persekolahan kelak.

“Dalam masa yang sama, ibu-bapa dan penjaga juga disaran supaya sentiasa membuat pengawasan terhadap gejala ke atas anak-anak mereka, dan mendapatkan pemeriksaan dan rawatan segera di klinik kesihatan sekiranya bergejala,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan semasa Covid-19 negeri Sabah, hari ini.

Tambahnya, saranan yang diberikan itu juga bukan bermaksud untuk menambah bebanan kewangan ibu bapa kepada pelajar.

Untuk saringan Covid-19 bagi pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pula, ia hanya membabitkan pelajar yang tinggal di asrama.

Berdasarkan surat pekeliling daripada Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Christina Rundi pada 12 Jan, arahan saringan Covid-19 itu hanya tertakluk kepada pelajar-pelajar yang tinggal di asrama sekolah sahaja. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *