Sabah Perlu Bersedia Lebih Awal Hadapi Monsun Timur Laut – Bung Moktar

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Seri Bung Moktar Radin (kiri) diberikan penerangan mengenai proses membaikpulih jalan utama Nangoh Paitan Kanibungan yang putus akibat tanah runtuh oleh Jurutera Daerah Jabatan Kerjaya Raya Beluran Kenny Paping (kanan) sewaktu mengadakan lawatan hari ini. – Foto BERNAMA

BELURAN, 26 Jan : Persediaan lebih awal melibatkan semua agensi kerajaan perlu dilakukan dalam menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka membawa hujan lebat berpanjangan dan mengakibatkan bencana banjir, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau berkata Monsun Timur Laut yang mengakibatkan banjir sememangnya sesuatu yang dijangka berlaku saban tahun, bagaimanapun pihak berkaitan sering mengambil tindakan secara ad hoc atau apabila diperlukan dan kelaziman ini perlu diubah.

“Lebih baik kita membuat satu pertahanan (persiapan) awal daripada kita menunggu bencana berlaku, seharusnya semua agensi kerajaan dikerah untuk memantau pergerakan (monsun) ini daripada awal…jangan kita tunggu sudah kena baru kita buat tindakan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau meninjau Jalan Nangoh Paitan Kanibungan yang runtuh akibat hujan lebat pada 19 Jan lepas di Paitan dekat sini.

Beliau berkata fenomena banjir bukan sahaja menjejaskan kehidupan rakyat dan menyebabkan tanah runtuh serta jalan rosak, malah turut mengganggu penyaluran bekalan air bersih kepada rakyat kerana kerosakan sistem paip air bawah tanah.

Merujuk kepada kejadian jalan runtuh di Jalan Nangoh Paitan Kanibungan yang turut melibatkan kuarters Jabatan Air Paitan, Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata pihaknya mendapati paip air di kawasan tanah runtuh itu turut pecah.

“Saya telah meminta penolong pegawai daerah untuk memanggil satu mesyuarat khas dan panggil semua agensi kerajaan terlibat dan buat kajian bagaimana cara untuk memperbaiki dan membaik pulih jalan raya ini.

“Saya mahu agar masalah ini diselesaikan dalam empat, lima bulan ini supaya kita dapat memberi perkhidmatan jalan raya dan bekalan air bersih kepada kira-kira 600 pengguna yang sekarang ini dibantu dengan penghantaran bekalan air,” katanya.

Di samping itu, Bung Moktar meminta pejabat Jabatan Air di semua daerah untuk mengemukakan kertas kerja bagi meningkatkan kualiti air di kawasan masing-masing.

Beliau berkata pihaknya juga akan membincangkan permohonan untuk memasukkan beberapa jalan negeri di bawah seliaan Kerajaan Persekutuan di peringkat mesyuarat Kabinet negeri.- BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *