COVID-19: 3,048 Kes Baharu & 11 Kematian Hari Ini

KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan sebanyak 3,048 kes baharu COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes kini sebanyak 186,849 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu sebanyak lapan kes import dilaporkan mendapat jangkitan di luar negara.

“Kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 kini sebanyak 41,076 kes,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Mengenai penularan jangkitan COVID-19 mengikut negeri, katanya Selangor mencatatkan kes harian tertinggi dengan pertambahan sebanyak 1,035 kes dan diikuti Johor (529) dan Sabah (348).

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, terdapat pertambahan sebanyak 11 kes kematian baharu menjadikan jumlah kes kematian secara keseluruhannya kini 689 kes.

Setakat ini, sebanyak 261 pesakit sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 101 orang memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, jumlah kes sembuh terus mencatat peningkatan sebanyak 3,638 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh kini sebanyak 145,084 kes.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost