Anggota Polis Diberi Kelonggaran Masuk Sabah

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri bersetuju memberi kelonggaran kepada pegawai dan anggota polis untuk masuk ke Sabah ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap jurucakap rasmi kerajaan negeri bagi COVID-19, Datuk Masidi Manjun, berkata antara syarat perlu dipatuhi ialah pegawai dan anggota yang bertugas di Sabah hendaklah mendapatkan cap Seksyen 66(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 ketika ketibaan.

“Kemasukan ke Sabah hendaklah menggunakan Dokumen Perjalanan Terhad (DPT) atau Pasport Antarabangsa Malaysia (PMA) untuk mendapatkan cap seksyen itu.

“Selain itu, pegawai atau anggota polis harus mengemukakan dokumen sokongan seperti surat pertukaran atau surat penempatan daripada jabatan untuk berkhidmat di Sabah.

“Bagi tanggungan kepada pegawai dan anggota PDRM yang bertugas di Sabah, hendaklah menunjukkan bukti perhubungan dan mendapatkan cap Seksyen 66(2) Akta Imigresen 1959/63 atau memohon Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang di pejabat Imigresen Sabah dengan serta-merta selepas memasuki negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai perkembangan COVID-19 secara maya, semalam. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost