307 Kematian Akibat Covid-19 Di Sabah Setakat Ini

gambar hiasan

KOTA KINABALU: Sebanyak 307 kes kematian disebabkan Covid-19 secara keseluruhan direkodkan di Sabah, setakat ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata majoriti kematian dilaporkan dari wad unit rawatan rapi (ICU).

“Daripada jumlah ini, 131 kematian dilaporkan daripada wad ICU, 54 daripadanya di wad pengasingan atau unit kecemasan, manakala selebihnya 122 adalah kematian di luar hospital.

“Kategori umur kematian di bawah umur 20 tahun mencatatkan seramai tujuh orang, 46 orang untuk kategori umur 21 sehingga 50 tahun dan 66 orang untuk kategori umur 51 sehingga 60 tahun.

“Selain itu, seramai 94 orang untuk kategori umur 61 sehingga 70 tahun, 56 orang untuk kategori 71 sehingga 80 tahun, 32 orang untuk kategori umur 81 sehingga 90 tahun, manakala seramai enam orang bagi kategori umur melebihi 91 tahun.

“Kebanyakan daripada mereka yang terkesan teruk daripada jangkitan Covid-19 mempunyai sejarah penyakit kronik seperti masalah jantung, diabetes, paru-paru kronik dan penyakit buah pinggang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media secara maya mengenai perkembangan Covid-19.

Semalam, Sabah mencatatkan jumlah kes positif baharu COVID-19 sebanyak 453 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 45,862 kes.

Sebanyak tiga kes kematian direkodkan iaitu masing-masing di Kinabatangan, Sandakan dan Lahad Datu. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1216