PPM Semporna Tahan Lelaki Pala’u Miliki Syabu

Lelaki Pala’u yang miliki syabu ditahan pihak PPM Semporna. – Foto Ihsam PPM

SEMPORNA : Seorang lelaki Pala’u disyaki memiliki dadah jenis syabu ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di kawasan perairan laut Sum-Sum,di sini.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, DSP Mohammad Ismail berkata pasukan PPM yang menjalankan rondaan di lokasi tersebut mengesan pergerakan sebuah perahu dalam keadaan mencurigakan.

“Pasukan keselamatan yang berjaya menahan bot terbabit bertindak membuat pemeriksaan dan mendapati di dalamnya hanya terdapat seorang lelaki dipercayai Pala’u berumur 18 tahun.

Foto Ihsan PPM

“Pemeriksaan lanjut, pasukan keselamatan menjumpai satu paket lutsinar kecil berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu disembunyikan di dalam kotak rokok,”katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Mohammad berkata, suspek bersama barang rampasan dadah disyaki syabu dan sebuah perahu yang dianggarkan bernilai RM2,430 ditangkap dan dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna sebelum diserahkan ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat POlis Daerah IPD Semporna.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki dadah  jenis Methamphetamine (syabu),”katanya.

Beliau berkata PPM sentiasa menggalakan semua masyarakat persisir pantai untuk memberikan kerjasama menyalurkan maklumat sekiranya mendapati terdapat aktiviti jenayah di sekitar mereka.

“Kerjasama itu bagi memastikan keselamatan di perairan dapat dijaga dan sesiapa yang mempunyai maklumat boleh terus menyalurkan aduan tersebut melalui aplikasi Whatsapp PPM Wilayah 4 Sabah di talian 0132831197,”katanya. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *