Polis Marin Gagalkan Cubaan Seludup Barang Kawalan Ke Negara Jiran

Semua barang rampasan dibawa ke pangkalan Marin Semporna untuk tindakan selanjutnya. – Foto Ihsan PPM

SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menggagalkan aktiviti menyeludup keluar barang kawalan ke negara jiran dalam satu serbuan di perairan Pondohan, Kampung Kuala Bibang, di sini.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, DSP Mohammad Ismail, berkata pasukan PPM yang menjalankan rondaan terserempak dua lelaki sedang memungah barang ke dalam dua bot laju.

Semua barang rampasan dibawa ke pangkalan Marin Semporna untuk tindakan selanjutnya. – Foto Ihsan PPM

“Pasukan keselamatan bertindak menghampiri dan menyerbu di lokasi tersebut untuk tujuan pemeriksaan lanjut berkaitan aktiviti dilakukan kedua-dua suspek.

“Suspek yang menyedari kehadiran pasukan keselamatan bertindak nekad melarikan diri ke kawasan daratan dan berjaya meloloskan diri,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua bot terbabit menemui 23 jerikin berisi minyak petrol dan 816 paket minyak masak dipercayai untuk diseludup keluar ke negara jiran.

“Kesemua barang kawalan termasuk dua bot laju berserta enjin tersebut dirampas dan dibawa ke pangkalan Marin Semporna untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan akan dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *