Larikan Jenazah Bapa, 4 Beradik Direman 3 Hari

KOTA KINABALU: Empat beradik yang ditahan polis selepas melarikan jenazah bapa mereka dari Hospital Lahad Datu di sini kelmarin, direman selama tiga hari bermula hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, semua suspek berusia 26 hingga 31 tahun itu direman untuk siasatan lanjut kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) untuk pengurusan wabak Covid-19.

Katanya, jenazah lelaki berusia 58 tahun terbabit yang menerima rawatan hospital berkenaan sebagai pesakit dalam siasatan (PUI).

“Ahli keluarga sudah diberikan penerangan berhubung SOP pengurusan jenazah ketika krisis wabak Covid-19 dan perlu menjalani ujian saringan risiko jangkitan.

“Bagaimanapun, mereka enggan mematuhi SOP berkenaan dan nekad membawa balik jenazah ke rumah mereka di Kampung Panji, Lahad Datu,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah, hari ini.

Hazani berkata, jenazah berkenaan sudah dibawa balik ke Jabatan Forensik untuk proses dan keputusan ujian covid-19.

Katanya, siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda atau penjara selama dua tahun atas kedua-duanya sekali.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya.

Sehubungan itu, Hazani berkata, orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi SOP ditetapkan dalam usaha memerangi penularan Covid-19

Katanya, tindakan sedemikian dibimbangi mencetuskan kluster baru seperti dilaporkan berlaku di negara jiran apabila seluruh kampung dijangkiti penyakit berkenaan selepas urusan pengebumian jenazah positif Covid-19.

Pada jam 8.30 malam semalam, empat beradik ditahan polis selepas bertindak melarikan jenazah bapa mereka dalam kejadian di Hospital Lahad Datu.

Keempat-empat beradik itu dipercayai bertindak sedemikian selepas enggan membenarkan pihak hospital menjalankan SOP untuk pengurusan wabak Covid -19 terhadap jenazah bapa mereka. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *