KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menerusi syarikat konsesi akan memperbaiki segera masalah keretakan yang berlaku di Jejambat (flyover) Hilltop Luyang.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kerja-kerja penyelenggaran ini akan dilakukan oleh syarikat konsesi dengan kadar segera.
Jejambat ini dibawah perlu dibaiki oleh syarikat konsesi memandangkan mereka yang diberi tanggungjawab membinanya sebelum ia diserahkan kepada kerajaan.
Menteri Kerja Raya ini berkata, setakat ini jalan ini masih boleh dilalui oleh kenderaan.
“Namun, kita menutup sebahagian lorong atas dan bahagian bawah untuk tujuan keselamatan pengguna selain memasang papan tanda amaran,” katanya selepas mengadakan lawatan mengejut bagi meninjau keratakan yang berlaku di jejambat tersebut petang tadi.
Bung berkata, selain faktor hujan berterusan, keretakan berlaku disebabkan dua struktur yang berbeza dan di bawah jejambat tersebut terdapat perparitan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Kerja-kerja pembaikan ini perlu dilakukan segera bagi meredakan kebimbangan orang ramai khususnya pengguna jalan raya. Disamping itu, ia demi keselamatan agar kerosakan sedia ada tidak melarat,” ujarnya.
Mengulas mengenai bilangan jalan raya runtuh akibat hujan lebat, beliau berkata, pihak kementerian sedang mengumpul data tersebut dan tidak menolak kemungkinan terdapat lebih daripada 10 batang jalan raya mengalami runtuhan.
“ Kita sedang mengumpul data berkenaan dan kita juga tidak menolak kemungkinan akan berlaku lagi beberapa keruntuhan jalan raya sekiranya hujan lebat berterusan,” jelasnya.
Turut hadir dalam lawatan itu adalah Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Mohd Jasmin Julpin dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Ir Ali Ahmad Hamid. – BorneoToday
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost