Hati-Hati Dengan Taktik Penipuan Ambil Alih Akaun WhatsApp – SKMM

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini menasihatkan orang ramai agar berwaspada dengan kewujudan taktik penipuan yang bertujuan mengambil alih akaun WhatsApp pengguna.

SKMM dalam kenyataannya, berkata taktik berkenaan menggunakan pelbagai helah bagi memperdaya pengguna supaya menyerahkan kod pengesahan enam digit yang diterima daripada pihak WhatsApp.

“Kod pengesahan tersebut amnya diterima pengguna untuk tujuan pengesahan apabila berlaku cubaan pertukaran nombor telefon yang dikaitkan dengan sesuatu akaun WhatsApp.

“Pengguna yang terpedaya menyerahkan kod pengesahan tersebut boleh menyebabkan akaun WhatsApp mereka diambil alih oleh scammer,” katanya.

Jusrteru, SKMM menggesa pengguna agar berwaspada terhadap permintaan kod pengesahan enam digit WhatsApp daripada mesej orang yang dikenali seperti rakan atau ahli keluarga atau panggilan orang yang tidak dikenali atau pihak yang mengaku sebagai kakitangan WhatsApp serta pihak lain termasuklah pihak berkuasa.

“Para pengguna diingatkan agar tidak sama sekali menyerahkan kod pengesahan enam digit WhatsApp kepada mana-mana pihak,” katanya.

SKMM berkata, pengguna yang menjadi mangsa pengambilalihan akaun WhatsApp disaran untuk mengikuti langkah seperti di pautan https://faq.whatsapp.com/general/account-and- profile/stolen-accounts/ untuk mengambil alih semula akaun WhatsApp yang dirampas.

“Bagi melindungi diri daripada sebarang kemungkinan perbuatan jenayah, pengguna yang menjadi mangsa boleh membuat aduan dan laporan berhubung pencerobohan atau pengambilalihan akaun WhatsApp kepada balai polis berhampiran,” katanya.

Laporan juga boleh dibuat kepada SKMM menerusi saluran portal aduan MCMC: https://aduan.skmm.gov.my, e-mel: [email protected] atau WhatsApp: 016-220 6262. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *