Sabah Pastikan Dapat Keutamaan Inisiatif Kerajaan Persekutuan – Hajiji

KOTA KINABALU, 20 Jan : Kerajaan Sabah akan memastikan negeri itu mendapat keutamaan dalam semua inisiatif dan pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan Kerajaan Persekutuan untuk mengurangkan impak ekonomi akibat pandemik COVID-19, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

“Sabah adalah antara yang paling teruk terjejas akibat pandemik ini, oleh itu kerajaan negeri akan bekerjasama rapat dengan Putrajaya untuk memastikan kita diutamakan dalam semua inisiatifnya,” kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bernilai RM15 bilion yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dua hari lalu.

Hajiji berkata Pakej Bantuan PERMAI yang merangkumi 22 inisiatif untuk memerangi COVID-19 dan memelihara kebajikan rakyat serta menyokong kesinambungan perniagaan, pasti akan membantu meringankan kesusahan yang dihadapi rakyat Malaysia pada masa yang sukar ini.

Beliau mengakui jalan ke arah pemulihan tidak mudah kerana kesan global pandemik terhadap ekonomi.

“Tetapi, jangan lakukan kesilapan, kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah akan mengambil segala kemungkinan untuk memastikan ekonomi Sabah pulih,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

19753