Mayat Wanita Ditemukan Di Kawasan Semak Belakang Hotel Di KK

 Mayat mangsa yang ditemukan di kawasan semak berhampiran tangki air di Jalan Bandaran di sini.

KOTA KINABALU: Mayat wanita lengkap berpakaian yang ditemukan di kawasan semak berhampiran tangki air di bahagian belakang sebuah hotel di Jalan Bandaran dipercayai bukan warga tempatan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata perkara itu adalah berdasarkan siasatan awal berikutan pihak polis tidak menemukan sebarang tanda suntikan imunisasi BCG (Bacillus Calmette Guerin) pada badan mangsa.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa berumur dalam lingkungan 30-an berdasarkan keadaan fizikal mayat mangsa yang ditemukan kira-kira jam 8 malam kelmarin.

“Tiada sebarang suntikan BCG ditemukan pada mangsa dan kita percaya mangsa bukan warga tempatan manakala hasil pemeriksaan fizikal menemukan kesan lebam pada bahagian muka dan mata mangsa,” katanya.

Beliau berkata mayat mangsa kini dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE1) untuk siasatan lanjut dan beliau menggesa mana-mana pihak yang ada kehilangan ahli keluarga agar membuat laporan di balai polis berdekatan.

“Pihak hospital memaklumkan mangsa meninggal dunia dalam tempoh kira-kira sehari berdasarkan keadaan mayat semasa ditemukan.

“Kita juga masih menunggu laporan siasatan daripada pihak Forensik sama ada terdapat unsur jenayah dalam kematian mangsa atau sebaliknya.

“Setakat ini kita belum mengetahui identiti mangsa dan keadaan fizikal mangsa semasa ditemukan adalah berambut panjang serta lengkap berseluar panjang memakai baju-t, sesiapa yang ada kehilangan ahli keluarga dalam masa terdekat diminta menghubungi pihak polis agar siasatan lanjut boleh dilaksanakan,” katanya.

Tambahnya pihak polis juga akan memanggil saksi yang berada berdekatan lokasi kejadian manakala pihaknya juga sedang menjalankan siasatan lanjut terhadap rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) berhampiran lokasi kejadian.

Habibi berkata setakat ini kes diklasifikasikan sebagai Kes Mati Mengejut (SDR).

Difahamkan mangsa didakwa sering kelihatan berkeliaran di kawasan berkenaan namun tidak dapat dipastikan sama ada mangsa bekerja atau tinggal di kawasan berkenaan.

Sementara itu dalam perkembangan berasingan polis giat menjalankan siasatan terperinci berkenaan isu membabitkan sekumpulan individu yang meminum bir di sebuah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Likas yang tular dalam media sosial.

Habibi berkata kes terbabit kini disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan usaha mengenalpasti semua pihak terlibat masih dijalankan.

“Setakat ini kita sudah mengenalpasti dua wanita dan enam lelaki dan kita akan panggil kesemua suspek dalam masa terdekat (hari ini) untuk membantu siasatan.

“Orang ramai diminta bertenang, biar pihak polis menjalankan siasatan berkenaan perkara ini dan jangan membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan info tidak sahih kepada masyarakat,” katanya. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *