RM5 Juta Kos Baiki Laluan Runtuh Penampang-Tambunan

Antara laluan runtuh di Kilometer 45.7 Jalan Penampang-Tambunan.

KOTA KINABALU: Kerja pembaikan laluan runtuh dan terputus akibat hujan lebat di Kilometer 45.7 Jalan Penampang-Tambunan akan dilaksanakan segera membabitkan kos kira-kira RM5 juta.

Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Limus Jury, berkata laluan itu yang runtuh ketika hujan lebat kelmarin perlu dibaiki segera memandangkan ia adalah laluan penting menghubungkan ibu negeri dengan daerah di pedalaman.

Katanya, ketika ini, kontraktor sedang membuat persediaan bagi melaksanakan kerja pembaikan kekal di laluan berkenaan selain membina lencongan bagi membolehkan kenderaan melalui kawasan terbabit.

“Tindakan segera Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah ialah mengarahkan syarikat konsesi untuk memasang tanda amaran dan memulakan kerja pembinaan lencongan sementara.

“Selain itu, kerja pembaikan kekal juga dalam penyediaan dan akan dilaksanakan segera memandangkan jalan ini menghubungkan Kota Kinabalu dengan Keningau dan Tenom. Ia laluan penting dalam rangkaian jalan raya Persekutuan di Sabah.

Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Limus Jury (kanan) meninjau lokasi laluan runtuh di Kilometer 45.7 Jalan Penampang-Tambunan. – Foto JKR Sabah

“Anggaran kos awalan untuk melaksanakan pembaikan kekal itu adalah sebanyak RM5 juta, tertakluk kepada keputusan dan penemuan penyiasatan tanah,” katanya selepas meninjau kerosakan di laluan berkenaan, hari ini.

Berdasarkan laporan JKR, laluan sepanjang kira-kira 50 meter itu runtuh disebabkan kegagalan cerun yang tercetus daripada hujan lebat berterusan beberapa hari sebelum kejadian.

JKR juga mendapati aliran air bawah tanah yang tinggi melemahkan struktur tanah hingga menyebabkan laluan mendap sebelum runtuh dan akhirnya terputus.

Limus berkata, lokasi kira-kira 37.5 kilometer dari pekan Donggongon, Penampang itu terputus sepenuhnya dan setakat hari ini belum dapat dilalui semua jenis kenderaan.

“Buat masa ini, laluan alternatif yang boleh digunakan ialah Jalan Kota Kinabalu-Papar-Kimanis-Keningau dan Jalan Kota Kinabalu-Ranau-Tambunan untuk semua jenis kenderaan,” katanya.

Mengenai kesan retakan di laluan bertingkat Luyang bersebelahan Hilltop, di sini, yang dilaporkan sebelum ini, Limus berkata, JKR memantau kawasan itu sejak tiga minggu lalu dan lebih kerap ketika hujan berterusan beberapa hari lalu.

“Tindakan sewajarnya akan diambil jika keadaan laluan itu bertambah buruk. Untuk sementara ini, tiada keperluan segera untuk menutup laluan berkenaan, ia masih selamat kepada lalu lintas,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, sebagai langkah berjaga-jaga, lorong paling kiri di atas jejambat dan lorong kanan di laluan hujung bawah jejambat di persimpangan bertingkat itu ditutup.

“Siasatan terperinci masih dijalankan untuk mengenal pasti punca masalah itu dan penyelesaian jangka panjang yang akan diambil. Penyelesaian jangka pendek juga ada dicadangkan dan sekarang pada peringkat akhir untuk pelaksanaan,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

11056