836 Mangsa Banjir Di Sabah Setakat Malam Ini

KOTA KINABALU: Seramai 836 mangsa daripada 237 keluarga kini ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS), setakat jam 8 malam ini, berikutan banjir yang melanda beberapa daerah di negeri ini.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sabah berkata, sebanyak sembilan daerah membabitkan 226 buah kampung terjejas teruk akibat banjir susulan hujan berterusan sejak petang Sabtu lalu.

Katanya, daerah yang terlibat ialah di Beaufort, Paitan, Kota Kinabalu, Putatan, Penampang, Kota Belud, Tuaran, Papar dan Tenom.

”Jumlah mangsa paling ramai dipindahkan ialah di Kota Belud iaitu seramai 264 orang diikuti Tuaran dengan 106 mangsa, Kota Kinabalu (101), Beaufort (87), Tenom (75), Penampang (68), Paitan (69), Putatan (47), dan Papar (19).

”Sebanyak 16 PPS kini masih dibuka untuk menempatkan mangsa iaitu empat di Kota Belud, masing-masing dua di Paitan, Kota Kinabalu, Tuaran dan Tenom serta masing-masing satu di Beaufort, Putatan, Penampang, dan Papar,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Masidi Manjun berkata, kerajaan negeri menerusi jawatankuasa pengurusan bencana telah membuat persiapan sewajarnya bagi menghadapi bencana banjir di kala negeri itu berdepan ancaman penularan Covid-19.

Katanya, antara langkah dibuat termasuk menyediakan prosedur operasi standard (SOP) khas pengurusan mangsa banjir di PPS mengikut garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

”Ini termasuklah memastikan PPS menempatkan jumlah mangsa yang
bersesuaian dengan penjarakan fizikal, menjalankan saringan asas, menyediakan buku pendaftaran, imbasan MySejahtera, pengasingan mangsa serta rawatan lanjut bagi mangsa yang bergejala oleh KKM. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *