Jeffrey Kitingan Dan Isteri Dibenarkan Keluar Hospital

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan bersama isteri dibenarkan keluar hospital selepas disahkan sembuh daripada COVID-19.

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, disahkan sembuh daripada COVID-19 dan dibenarkan keluar hospital, semalam.

Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, menjalani rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE) sejak 4 Januari lalu selepas disahkan positif COVID-19 sehari sebelum itu.

Beliau bersama isteri, Datin Cecilia Kitingan yang turut disahkan sembuh daripada penyakit itu, keluar wad HQE kira-kira jam 1 tengah hari.

Dalam satu kenyataan ringkas, Jeffrey yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), mengucapkan terima kasih kepada pasukan perubatan yang merawat beliau dan isteri.

“Terima kasih saya ucapkan, khususnya kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi; Pengarah HQE, Dr William Gotulis; Ketua Unit Penyakit Berjangkit, Dr Lee Heng Gee, dan kakitangannya, Dr Rachel; serta semua kakitangan hospital yang menjaga kami selama dua minggu.

“Paling penting, saya bersyukur dengan perkhidmatan diberikan petugas barisan hadapan kita yang bekerja tanpa mengira penat lelah, dan sanggup mengorbankan masa serta tenaga semata-mata untuk memerangi COVID-19,” katanya.

Dua lagi anggota Kabinet Sabah yang masih dirawat selepas disahkan positif COVID-19, minggu lalu, ialah Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Robert Tawik, dan Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, Hendrus Anding. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1470