Covid-19: Daerah Nabawan Kini Zon Jingga

KOTA KINABALU: Selepas setahun berjaya mengekalkan rekod baik dengan hanya tujuh kumulatif kes positif, daerah Nabawan kini berada dalam zon jingga.

Hanya dalam tempoh 16 hari sahaja, Nabawan bertukar dari zon kuning kepada zon jingga, iaitu daerah yang mencatatkan antara 21 hingga 40 kes positif yang aktif.

Untuk hari ini, sebanyak 449 kes positif dilaporkan di Sabah, dengan empat kes kematian

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun dalam satu kenyataan berkata, empat kematian itu dilaporkan di Lahad Datu dan Tuaran.

Beliau berkata, daripada 449 kes baharu hari ini, Kota Kinabalu kembali mencatatkan kes tertinggi dengan 84 kes, diikuti Tawau (67), Sandakan (51), Lahad Datu (40), Penampang (28), Keningau (25), Papar (23), Kinabatangan (23), Beaufort (21), Kudat (14), Nabawan (13), Kunak (10), Putatan (9), Tuaran (9), Kalabakan (7), Kota Marudu (4), Kota Belud (4), Ranau (4), manakala tiga kes di Sipitang, Tenom dan Tongod. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1188