‘Orang Tengah’ Jual Syabu Ditangkap Di Sepanggar

KOTA KINABALU: Kelekaan tiga sekawan yang sedang menghisap syabu di sebuah pondok di Kampung Lok Buno, Sepanggar membawa padah apabila pondok terbabit diserbu polis, pada Khamis.

Serbuan itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu pada 10.20 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, ketiga-tiga suspek lelaki berusia antara 36 hingga 49 tahun itu ditahan bersama satu paket syabu seberat 0.10gram yang dijumpai diatas lantai pondok.

Hasil soal siasat ke atas suspek yang ditahan, polis turut menjumpai dua bungkusan syabu seberat 75.70 gram yang disembunyikan di dalam lipatan kanvas yang diletakkan di atas satu rangka besi di hadapan pondok.

“Keseluruhan nilai syabu dirampas adalah seberat 75.80 gram, dianggarkan bernilai RM7,580.

seorang dari suspek tidak mempunyai dokumen pengenalan diri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Habibi berkata, suspek ditahan juga mengaku telah lama terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan menjadi orang tengah kepada sindiket pengedaran dadah.

Katanya, suspek menjual bekalan syabu yang diperolehi dari pengedar kepada penagih di kawasan sekitar dengan mendapat upah berdasarkan keuntungan jualan diantara RM10 sehingga RM100.

Menurutnya, siasatan awal yang dijalankan mendapati, dua suspek yang ditahan mempunyai rekod kesalahan lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.  Hasil ujian saringan urin juga didapati ketiga-tiga suspek positif dadah.

Kes ini disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

Kesemua suspek direman bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

4600