Laluan Kereta Api KK- Beaufort Dihentikan Sementara

Laluan Kereta api KK- Beaufort dihentikan sementara.

KOTA KINABALU: Perkhidmatan kereta api di Sabah bagi laluan Kota Kinabalu – Beaufort dihentikan sementara berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di negeri ini.

Jurucakap Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) dalam kenyataannya berkata, pemberhentian sementara itu berkuat kuasa mulai hari ini sehingga 26 Januari ini.

Pemberhentian itu juga sejajar dengan larangan rentas daerah yang dikuatkuasakan mulai semalam memandangkan laluan perkhidmatan berkenaan merentasi daerah Kota Kinabalu, Putatan, Papar dan Beaufort.

Bagaimanapun, perkhidmatan kereta api yang membabitkan daerah sama, khususnya di Beaufort dan Tenom masih beroperasi seperti biasa.

Dua perkhidmatan beroperasi di kedua-dua daerah itu iaitu bagi laluan Beaufort – Halogilat dan Tenom – Rayoh, masing-masing berlepas pada 7.50 pagi dan 1.30 tengah hari, serta 7.30 pagi dan 1 tengah hari.

Perkhidmatan kereta api di kedua-dua laluan itu penting kepada penduduk Kampung Rayoh dan Halogilat serta kawasan sekitarnya memandangkan hanya pengangkutan rel yang sampai ke lokasi berkenaan.

Pengangkutan kereta api masih mendapat tempat dalam kalangan sebahagian pengguna pengangkutan awam, khususnya di kawasan pantai barat dan pedalaman Sabah kerana kos yang murah.

Bagi pengguna di laluan Kota Kinabalu – Beaufort, perkhidmatan kereta api menjadi pilihan ramai kakitangan awam dan pekerja swasta yang bekerja di ibu negeri bagi mengelak kesesakan lalu lintas. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost