52 Pasangan Diijab Kabul Sebelum PKP Di Tawau

TAWAU, 13 Jan : Seramai 52 pasangan di Tawau selamat diijabkabulkan semalam oleh enam jurunikah sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa hari ini, selama 14 hari.

Pegawai Tadbir Agama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Tawau, Kahar Sundu berkata kesemua pasangan itu dinikahkan sehingga 11.30 malam tadi di pejabat JHEAINS, Jalan Kuhara di sini.

Kahar berkata prihatin pada pasangan yang sepatutnya bernikah dalam tempoh PKP itu, JHEAINS Tawau mengambil inisiatif untuk memberi peluang kepada pasangan terlibat untuk diijab kabul lebih awal.

“Kami ingin memudahkan urusan pernikahan kesemua pasangan ini kerana dalam tempoh PKP, semua urusan pernikahan ditangguhkan kecuali kerja pentadbiran. Saya meminta jurunikah menghubungi pasangan berkenaan dan hampir 90 peratus bersetuju dan hadir untuk proses lafaz akad nikah,” katanya ketika ditemui di Pejabat JHEAINS malam tadi.

Menurutnya, rata-rata pasangan yang bernikah itu berumur di bawah 30 tahun dan merupakan perkahwinan pertama, mereka hadir ke pejabat JHEAINS bersama wali masing-masing.

Dalam pada itu, seorang pengantin Muhamad Afif Afendi, 24, berkata tarikh pernikahan sebenar bersama pasangannya, Nur Farahin Bahar, 25, sepatutnya pada 23 Jan ini namun disebabkan PKP terpaksa diawalkan sekali gus berasa bersyukur urusan mereka telah dipermudahkan.

“Pada mulanya kami berasa kecewa kerana majlis terpaksa ditangguhkan ekoran PKP tetapi saya terkejut apabila dihubungi JHEAINS mengenai inisiatif ini dan selepas berbincang bersama ahli keluarga masing-masing, kami setuju melakukannya.

“Memandangkan pakaian pun sudah disiapkan, cuma kami terpaksa menghubungi keluarga lain dan rakan-rakan untuk pemberitahuan nikah,” katanya sambil menambah tarikh sesuai majlis resepsi perkahwinan akan ditetapkan selepas PKP.

Bagi Jupidah Muhammad Zin, 27, beliau gembira kerana urusan pernikahan pada 8.30 malam itu bersama pasangan Muhammad Hafiz Sedding, 26, dipermudahkan dan direstui keluarga.

“Kalau ikut majlis kami dalam tempoh seminggu lagi dan tadi terima panggilan pada 10 pagi jika mahu lafaz akad nikah diawalkan dan keluarga pun menasihatkan supaya diteruskan saja hari ini, jadi kami bersetuju meskipun persediaan itu kelam-kabut,” katanya.

Isnin lepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP mulai 13 sehingga 26 Jan bagi Sabah, Selangor, Melaka, Pulau Pinang, Johor dan Wilayah Persekutuan. (Labuan, Putrajaya dan Kuala Lumpur) dan tidak dibenarkan rentas negeri dan daerah. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1213