PKP 2.0: Hanya 5 Sektor Boleh Beroperasi

KUALA LUMPUR: Hanya lima sektor dikategorikan sebagai sektor ekonomi perlu dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 iaitu pengilangan dan pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran, serta perladangan dan komoditi.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pemilihan sektor itu kerana peranannya menyokong kerja membekal keperluan asas seperti makanan, minuman dan barangan keperluan rumah serta penjagaan diri selain kelengkapan PPE, peranti perubatan dan ubatan kepada petugas kesihatan.

Katanya, ia juga untuk aktiviti perdagangan antarabangsa, memastikan rantaian bekalan tidak terputus dan menyokong infrastruktur kritikal dan kerja-kerja kecemasan.

“Bagaimanapun, hanya 30 peratus pekerja dalam kumpulan pengurusan yang dibenarkan berada di pejabat, manakala bagi pekerja di dalam kumpulan sokongan, jumlah pekerja yang diperlukan pada satu-satu masa akan ditentukan oleh majikan masing-masing.

“Ingin saya ingatkan, jumlah pekerja yang ditentukan mestilah mengambil kira pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Jangan sampai tiada penjarakan fizikal langsung sewaktu berada di tempat kerja.

“Mana-mana majikan yang melanggar SOP dan menyebabkan berlakunya penularan jangkitan Covid-19 di tempat kerja, tindakan tegas akan diambil berdasarkan undang-undang termasuk menutup premis berkenaan,” katanya dalam Perutusan Khas Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang disiarkan menerusi stesen televisyen, hari ini.

Muhyiddin berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan memperincikan jenis-jenis perkhidmatan yang disenaraikan sebagai sektor ekonomi essential, manakala kementerian itu akan bersama Kementerian Kerja Raya untuk memperincikan butiran kerja pembinaan yang dibenarkan beroperasi.

Katanya, arahan bekerja dari rumah akan berkuat kuasa bagi sektor atau perkhidmatan yang tidak disenaraikan sebagai perkhidmatan essential.

“Semua majikan mesti mematuhi arahan ini untuk mengurangkan pergerakan di dalam komuniti, terutamanya di kawasan yang berkepadatan tinggi. Hanya dengan langkah ini, kita dapat mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 di tempat kerja,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *