PKP 2.0 : Kedai Makan, Gerai Penjaja Hanya Dibenarkan Perkhidmatan Bawa Pulang

KUALA LUMPUR: Semua kedai makan dan gerai penjaja di enam negeri dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hanya dibenarkan beroperasi untuk perkhidmatan bawa pulang.

Enam negeri itu ialah Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor serta Sabah.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kedai makan dan gerai penjaja di negeri yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) serta Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pula, boleh beroperasi seperti biasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Selain itu, beliau berkata, perkhidmatan penghantaran makanan dibenarkan beroperasi di semua negeri.

“Pasar raya, perkhidmatan kesihatan termasuk klinik, hospital dan farmasi, serta bank dibenarkan beroperasi di kawasan PKP pada tahap berjaga-jaga.

“Patuhi SOP ketika berada di tempat ini seperti memakai pelitup muka dengan betul, jaga penjarakan fizikal dan kerap gunakan hand sanitizer.

“Jika tidak ada keperluan segera atau mendesak, tidak perlulah keluar rumah. Stay at home (tinggal di rumah),” katanya ketika menyampaikan Perutusan Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan dalam semua sektor peruncitan adalah mencukupi.

“Pemantauan terhadap barangan keperluan pengguna seperti gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung, ayam, sayur-sayuran, telur, bawang, hand sanitizer serta pelitup muka akan dilakukan setiap hari,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *