Lebih 100,000 Pekerja Asing Di Sabah Belum Jalani Ujian Saringan Covid-19

PUTATAN, 11 Jan : Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah mengenal pasti lebih 100,000 pekerja asing yang digajikan majikan di negeri itu, masih belum menjalani ujian saringan COVID-19, kata Pengarahnya Wan Zukli Wan Setapa.

Beliau berkata sebanyak 7,578 majikan di Sabah yang menggajikan seramai 115,157 pekerja asing, diwajibkan memastikan setiap pekerja mereka melakukan ujian saringan COVID-19, bagi mencegah penularan wabak itu yang menyaksikan peningkatan dari hari ke hari.

“Namun, setakat ini hanya 700 majikan sahaja tampil melakukan ujian saringan sejak Disember tahun lalu melibatkan seramai 3,200 pekerja asing,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan Operasi Pematuhan Ujian Saringan COVID-19, terhadap majikan menggajikan pekerja asing di Sabah di sebuah kilang di sini, hari ini.

Oleh itu Wan Zukli berkata, semua majikan yang belum melaksanakan ujian saringan terhadap pekerja asing mereka, diminta berbuat demikian mulai hari ini hingga 28 Feb depan.

Beliau berkata JTK bersama Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan, dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), akan melaksanakan operasi bersepadu dan mengadakan lawatan ke setiap premis, bagi memastikan semua pekerja asing di Sabah menjalani ujian saringan COVID-19.

“Jika majikan tidak melakukan ujian saringan itu, maka pendakwaan boleh dibuat melalui Akta 342 di bawah peruntukan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (langkah-langkah di dalam kawasan Tempatan Jangkitan ) No 9 2020 Perkara 10,” katanya.

Wan Zukli berkata, setiap pekerja asing yang melakukan ujian saringan akan diberikan subsidi RM60 dan baki selebihnya ditanggung oleh majikan, selain ujian saringan juga boleh dilakukan di 78 klinik berdaftar PERKESO di seluruh Sabah. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *