COVID-19: 2,433 Kes Positif Baharu, 9 Kematian Hari Ini

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa pada hari ini bilangan kes sembuh Covid-19 adalah sebanyak 1,277 kes. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 adalah sebanyak 108,109 kes (79.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Pada hari ini, 10 Januari 2021, negara kita melaporkan kes harian sebanyak 2,433 kes. Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 135,992 kes.

Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah 27,332 kes.  Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat tujuh (7) kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, manakala penularan Covid-19 dalam negara pula adalah sebanyak 2,426 kes. Bagi kes penularan di dalam negara, 1,784 kes adalah warganegara Malaysia dan 642 kes adalah bukan warganegara.

Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 730 kes (30.0 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 510 kes (69.9 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan. Ini diikuti oleh Sabah sebanyak 403 kes (16.6 peratus) dan Johor sebanyak 321 kes (13.2 peratus).

Sebanyak 86 kes (3.5 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (79 kes), Kluster Pagar Siput (3 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (3 kes), dan Kluster Tembok Choh (1 kes).

Perincian penuh jumlah kes mengikut negeri adalah seperti di Lampiran 1 dan 2 yang disertakan bersama kenyataan media ini.

Sehingga kini, terdapat 171 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 76 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan sembilan (9) kes kematian Covid-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 551 kes (0.40 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

MAKLUMAT TERKINI BERKAITAN KLUSTER-KLUSTER

Sehingga 10 Januari 2021, terdapat sebanyak 586 kluster telah dilaporkan termasuk lima (5) kluster baharu pada hari ini. Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 332 kluster, termasuk tujuh (7) kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Bandar Impian, Kluster Indah Mas, Kluster Kubota, Kluster Batu Tiga, Kluster Rumah Merah, Kluster Sri Jujur, dan Kluster PTS Sibuga.

Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 254 kluster. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 65 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini. Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Penjara Jalan Harapan (79 kes), Kluster Rawa Akasia (73 kes), dan Kluster Beringin (65 kes).

KLUSTER BAHARU

KKM juga ingin memaklumkan terdapat lima (5) kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini iaitu:

  • KLUSTER TAPAK BINA CYBER

Kluster ini melibatkan daerah Sepang, Petaling, Klang, dan Hulu Langat di Selangor. Kes-kes dalam kluster ini telah dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 31 Disember 2020 hasil saringan bersasar di sebuah tapak binaan. Sehingga 10 Januari 2021, sejumlah 140 individu telah disaring, di mana 67 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

  • KLUSTER TEXMILE

Kluster ini melibatkan daerah Gombak di Selangor. Kes-kes bagi kluster telah dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 9 Januari 2021 hasil saringan bersasar di sebuah kilang. Sehingga 10 Januari 2021, sejumlah 351 individu telah disaring, di mana 19 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

  • KLUSTER JALAN SIBUGA

Kluster ini melibatkan daerah Sandakan di Sabah. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-125813) telah dilaporkan positif Covid-19 pada 7 Januari 2021 hasil saringan individu bergejala. Sehingga 10 Januari 2021, sejumlah 80 individu telah disaring, di mana sembilan (9) kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

  • KLUSTER ALOR DURIAN

Kluster ini melibatkan daerah Tumpat dan Kota Bahru di Kelantan. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-125408) telah dilaporkan positif Covid-19 pada 6 Januari 2021 hasil saringan rentas negeri. Sehingga 10 Januari 2021, sejumlah 77 individu telah disaring, di mana 17 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

  • KLUSTER WAKAF LANAS

Kluster ini melibatkan daerah Pasir Puteh di Kelantan. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-122818) telah dilaporkan positif Covid-19 pada 5 Januari 2021 hasil saringan rentas negeri. Sehingga 10 Januari 2021, sejumlah 29 individu telah disaring, di mana 11 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

KKM ingin menasihati orang ramai agar terus patuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu;

  • Elakkan 3S: (elakkan kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat).
  • Amalkan 3W: (Amalkan Wash, Wear dan Warn)

Patuhlah kepada S.O.P sebagai normal baharu. KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO. Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya.

Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *