120 Pengunjung Pusat Hiburan Dikompaun Langgar SOP PKPB

Habibi ketika memberi arahan kepada pengunjung di sebuah pusat hiburan di kawasan Waterfront, Kota Kinabalu. – Foto NSTP/Juwan Riduan

KOTA KINABALU: Seramai 120 pengunjung pusat hiburan berdekatan kawasan Waterfront dekat sini ditahan dalam serbuan jam 10 malam tadi kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata pusat hiburan itu sebenarnya beroperasi dengan menggunakan lesen kafe dan operasi itu adalah yang ketiga seumpamanya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Premis itu memasang audio yang sangat kuat menjadikannya tidak ubah seperti pusat hiburan.

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati premis berkenaan sebenarnya beroperasi dengan lesen tamat tempoh dan belum diperbaharui,” katanya.

Tambahnya, dalam serbuan itu 120 pengunjung ditahan kerana tiada penjarakan sosial dan dikompaun atas kesalahan mengikut Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (LLDKJ) (No 8) 2020.

Katanya, memandangkan ia adalah kesalahan berulang, polis akan mencadangkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk tidak meluluskan permit atau operasi premis berkenaan. – BH Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *