Covid-19: Tenom Kini Zon Merah

KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan 401 kes positif baharu Covid-19, empat kematian dan satu lagi kluster baharu hari ini.

Kluster baharu adalah kluster Kauran yang dikesan di Keningau yang mencatatkan 10 kes positif, dengan kumulatif 55 kes setakat ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kes kematian hari ini masing-masing dua kes di Kota Kinabalu dan dua kematian lagi di Sandakan.

Hari ini, Tenom bertukar dari zon jingga kepada zon merah dan ini merupakan zon merah ke-22 di Sabah. Ini bermakna, hanya lima daerah di Sabah yang bukan berada di zon merah iaitu, satu zon jingga dan empat zon kuning.

Beliau berkata, daripada 401 kes baharu hari ini, Kota Kinabalu kekal mencatatkan kes tertinggi dengan 101 kes, diikuti Penampang (41), Lahad Datu (39), Tawau (32), Putatan (29), Keningau (18), Papar (18), Kinabatangan (16), Pitas (14), Sandakan (12), Tuaran (12), Kota Marudu (10), Tambunan (9), Kuala Penyu (9) dan Kota Belud (7).

Manakala, enam kes di Kudat, Kunak dan Tenom, Beaufort (5), Kalabakan (5), Ranau (4) dan satu kes masing-masing di Sipitang dan Semporna.

Masidi berkata, daripada 401 kes positif itu, sebanyak 255 kes dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 72 kes, saringan kluster baharu dan kluster-kluster sedia 31 kes dan 43 kes adalah dari lain-lain kategori.

Sementara itu, sebanyak 302 kes pulih dilaporkan, dengan kumulatif kes sebanyak 36,448 kes. Tambahan empat kes kematian hari ini menjadikan bilangan kumulatif kematian di Sabah meningkat kepada 282 kes.

Setakat ini, sebanyak 39,854 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 2,506 kes aktif yang sedang menerima rawatan, iaitu 696 orang di hospital dan 1,810 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Terdapat 68 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 19 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Keseluruhan katil di hospital dan PKRC di Sabah adalah 6,527 katil dan peratus penggunaan adalah 37.72 peratus. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *