Covid-19: Zon Merah Meningkat kepada 18 Daerah Di Sabah

KOTA KINABALU: Kes positif baharu di Sabah menurun kepada 303 kes, dengan tiga lagi kematian dilaporkan.

Tiga kes kematian dilaporkan hari ini adalah di Tawau, Lahad Datu dan Keningau.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun dalam satu kenyataan berkata, dengan penyertaan Kalabakan yang bertukar kepada zon merah hari ini, sebanyak 18 daerah di Sabah kini berada dalam zon merah.

Katanya, daripada 303 kes baharu hari ini, Kota Kinabalu kekal mencatatkan kes tertinggi dengan 64 kes, diikuti Tawau (47), Lahad Datu (39), Penampang (31), Sipitang (22), Papar (19), Sandakan (16), Putatan (14), Kota Belud (10), Pitas (9), Keningau (8), Kinabatangan (6) dan tiga kes di Kota Marudu, Tuaran, Ranau dan Kalabakan.

Manakala, dua kes di Semporna dan Tongod serta satu kes masing-masing di Beaufort dan Kunak.

Hari ini, Tongod bertukar dari zon hijau kepada zon kuning.

Masidi berkata, daripada 303 kes positif itu, sebanyak 221 kes dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 56 kes, saringan kluster-kluster sedia ada tiga kes dan 23 kes adalah dari lain-lain kategori.

Sementara itu, sebanyak 147 kes pulih dilaporkan, dengan kumulatif kes sebanyak 35,530 kes. Dengan tiga kes kematian hari ini, bilangan kumulatif kematian di Sabah meningkat kepada 270 kes.

Setakat ini, sebanyak 38,172 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 1,971 kes aktif yang sedang menerima rawatan, iaitu 665 orang di hospital dan 1,306 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Terdapat 52 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 15 orang memerlukan alat bantuan pernafasan. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *