Pekerja Binaan Maut Tertimbus Tanah Runtuh

Pasukan bomba bantu mengeluarkan mangsa yang yang tertimbus. Foto Ihsan Bomba

KOTA KINABALU: Seorang pekerja binaan warga Indonesia maut selepas tertimbus tanah di Jalan Lama Tuaran, Bandar Sierra, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, Sukirman Rappe, 43, dikatakan menjalankan kerja pengambilan tanah menggunakan jengkaut di lokasi berkenaan.

Bagaimanapun, tanah di kawasan berkenaan tiba-tiba runtuh sehingga menyebabkan mangsa tersepit di celah runtuhan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataannya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.09 petang.

Katanya, sepasukan lapan anggota bomba dikerah ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS).

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa didapati tersepit di dalam runtuhan tanah dan operasi menyelamatkan mangsa segera dijalankan.

“Mangsa akhirnya berjaya dikeluarkan pada 5.12 petang oleh pasukan bomba namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian,” katanya.

Menurut kenyataan itu, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan susulan. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *